Ketua jurulatih Perlis, Manzoor Azwira Abdul Wahid, tidak mahu ada pihak melabelkan skuad Singa Utara sebagai pasukan kuda tua walaupun dibarisi ramai pemain ternama yang berusia 30 tahun dan ke atas.

Bukan sahaja Badhri Radzi dan Safee Sali, malah Perlis turut diperkuatkan oleh Azmi Muslim, Amirizwan Taj Tajuddin dan Azmizi Azmi yang hampir memasuki usia pertengahan 30-an.

Kehadiran pemain-pemain itu memperlihatkan Perlis seperti tidak seimbang dalam pemilihan pemain daripada segi purata usia tetapi ia dinafikan Manzoor.

Dia menjelaskan skuad itu masih ada pemain muda yang boleh diketengahkan selain menepis dakwaan kononnya Perlis hanya mengejar pemain ternama.

"Saya boleh katakan bahawa separuh daripada pasukan dibarisi oleh pemain berusia 30 tahun dan ke atas tetapi berdasarkan pengalaman mereka, saya rasa ia dapat membantu pasukan.

"Ada pemain muda yang memerlukan kelibat senior untuk membantu ketika sesi latihan. Saya rasa ia cukup kuat untuk membantu pasukan," katanya.

Selain itu, Manzoor turut berkongsi perasaan terujanya dengan sambutan luar biasa penyokong Perlis ketika bertemu Kedah di Kangar, Jumaat lalu.

Seolah-olah mengimbau nostalgia ketika bergelar pemain Perlis satu masa dahulu, dia berharap momentum itu mampu berterusan sehingga penghujung musim.

"Saya rasa terkejut kerana tak sangka ia sebegitu. Saya menjangkakan ramai tetapi tidaklah sehingga penuh stadium. Saya berharap ia satu permulaan baik untuk Perlis dan berterusan.

"Situasi itu sama, cuma kali ini sebagai jurulatih," ujarnya.