Skuad Harimau Malaya tampak lebih serius untuk menghadapi dua aksi penting kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bulan ini apabila mengadakan aksi persahabatan antarabangsa secara tertutup hari ini.

Difahamkan, perlawanan tersebut membabitkan pertemuan menentang pasukan di ranking ke-154 dunia, Maldives.

Maldives yang pernah diuji skuad negara dalam satu aksi persahabatan antarabangsa tahun lalu sudah berada di Malaysia sejak minggu lalu.

Seperti Malaysia, skuad bimbingan Petar Segrt itu juga dalam persiapan untuk menghadapi aksi kelayakan Piala Dunia/Piala Asia membabitkan pertemuan menentang Filipina dan Guam di laman sendiri.

Dan ini reaksi Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam, mengenai perkara berkenaan.

"Perlawanan tertutup ini akan mengikut peraturan yang telah ditetapkan FIFA dan kami tidak boleh mempromosikan perlawanan serta tidak boleh memberikan sebarang komen mengenai perlawanan ini," katanya.

Sementara itu, jurulatih negara, Tan Cheng Hoe, mengambil pendekatan 'kunci mulut' berhubung perlawanan persahabatan tertutup itu.

Bagaimanapun, ia akan disertai semua pemain apabila Cheng Hoe semalam mengesahkan pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Kedah yang terbabit dalam aksi final Piala Malaysia tetap akan melapor diri, hari ini.

"Setakat ini, segalanya berjalan lancar dengan persiapan pemain-pemain untuk aksi akan datang," katanya.