Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Windsor Paul, mengesahkan perlawanan kelayakan Piala Asia 2019 di antara Korea Utara dan Malaysia akan diadakan di gelanggang berkecuali selepas ia ditunda buat kali ketiga, hari ini.

Skuad negara dijadual bertemu Korea Utara di Pyongyang pada 5 Oktober ini selepas dua kali ditunda sebelum ini.

Namun, ia juga tidak dapat diadakan susulan ketegangan yang berlaku di Semenanjung Korea dan kebimbangan terhadap siri ujian peluru berpandu oleh negara itu.

Windsor ketika dihubungi Nadi Arena mengesahkan perlawanan itu akan diadakan di venue berkecuali, namun akan ditentukan oleh Jawatankuasa Pertandingan AFC dalam masa terdekat.

"Sebelum bermesyuarat, kami akan berbincang dengan pihak Korea Utara kerana ia adalah hak mereka untuk menentukan gelanggang berkecuali.

"Jadi, selepas perbincangan dibuat, kami akan mengemukan cadangan kepada Jawatankuasa Pertandingan (AFC) yang akan membuat keputusan," katanya.

AFC memutuskan untuk menunda perlawanan itu selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memaklumkan bahawa Kementerian Luar Negara hari ini melarang rakyat Malaysia ke Korea Utara berkuat kuasa serta-merta.

"Ya, penangguhan tiga kali ini mungkin boleh dikatakan satu rekod tetapi AFC sudah mempunyai pengalaman berhubung perkara tersebut. Kami tidak akan mengambil ringan soal keselamatan," tambahnya.

Sementara itu, FAM dalam satu kenyataan balas mengesahkan skuad negara tidak akan terbang ke Pyongyang, Korea Utara, Selasa ini.

Badan induk itu sudah menghantar surat rasmi kepada AFC hari ini bagi memaklumkan perkara berkenaan berikutan larangan perjalanan terbaru daripada Kerajaan Malaysia.

Perlawanan membabitkan kedua-dua pasukan pada asalnya dijadualkan pada 28 Mac lalu di Pyongyang.

Namun, ia ditunda kepada 8 Jun selepas ketegangan hubungan diplomatik ekoran pembunuhan Kim Jong-nam, abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), 13 Februari lalu.

Berikutan ketegangan itu berlanjutan, aksi terbabit sekali lagi ditunda kepada 5 Oktober, lima hari sebelum perlawanan menentang Hong Kong pada 10 Oktober.