Persatuan Bekas Pemain Bola Sepak Terengganu (PBPBT) mengutip RM4,600 dalam perlawanan amal ‘Jasamu Dikenang’ menentang Kelab Sukan dan Kebajikan Bekas Pemain Kelantan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, semalam.

Menurut Setiausaha PBPBT, Mohd Norhisham Hassan, perlawanan dua pasukan legenda itu diadakan bagi meringankan beban keluarga dua bekas pemain Terengganu, Allahyarham Alfian Aziz dan Ariffin Osman, yang meninggal dunia baru-baru ini.

“Ini adalah salah satu usaha persatuan dalam menjaga kebajikan bekas-bekas pemain yang bernaung di bawah PBPBT.

“Dua bekas pemain ini adalah watak utama kegemilangan dan kejayaan pasukan negeri Terengganu pada era 80-an dan 90-an.

“Dengan adanya perlawanan amal ini, PBPBT dapat mengutip sumbangan melalui jualan tiket berharga RM3 dan diharapkan dapat membantu keluarga Allahyarham,” katanya

Bekas pertahanan Terengganu, Rosairil Asrul Mat Noor, pula menyifatkan perlawanan itu turut merapatkan hubungan sesama dua persatuan bekas pemain tersebut yang sudah tentu menggamit kembali nostalgia puluhan tahun lalu.

“Sebagai bekas rakan sepasukan Allahyarham Alfian, ini adalah peluang untuk kami semua memberi sumbangan kepada keluarganya dan berharap aktiviti seumpama ini dapat diteruskan lagi,” ujar Rosairil.

Aksi menghiburkan ditampilkan menyaksikan Legenda Terengganu terlebih dahulu mendahului menerusi jaringan Roshadi Wahab pada minit ke-20, namun Zulkifli Hussin menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-50.

Rosairil meletakkan Kelantan 2-1 di depan pada minit ke-70 selepas pecubaan leretnya dari luar kotak penalti berjaya menewaskan Zubir Ibrahim.

Kedudukan terus berubah lima minit kemudian apabila Rosdi Talib membuat penyudah dari jarak dekat menjadikan kedudukan 2-2 sebelum Zulkifli Hussin menambah jaringan kedua peribadi dan jaringan kemenangan Legenda Kelantan.