Mencari pemain yang berbakat dan baik bukan setakat melalui mereka yang beraksi dalam Piala Belia dan Piala Presiden, kata Pengarah Kejurulatihan Bola Sepak Sarawak, Abdul Wahet Uji.

Tegasnya, mencari pemain berpotensi harus bermula dari bawah, malah seawal usia tujuh tahun.

"Kami kurang prasarana untuk program pembangunan seperti ini walhal ia adalah paling penting untuk tujuan pembangunan mutu bola sepak," katanya.

Jelasnya, ketika ini satu-satunya program pencarian bakat yang mantap di Sarawak ialah Program Pembangunan Bolasepak Kebangsaan (NFDP) yang dikendalikan oleh Azry Abdullah.

"Saya seronok melihat program ini kerana ia betul-betul mencungkil bakat dan membolehkan mereka bermain bukan sahaja dengan kemahiran bola sepak tetapi kepantasan berfikir dan merancang.

"Ini kualiti yang perlu ada pada seseorang pemain bola sepak moden," kata Abdul Wahet.

NFDP di bawah naungan Kementerian Belia dan Sukan dikendalikan oleh jurulatih, Lim Teong Kim, di peringkat kebangsaan.

Program itu mula dibangunkan pada April 2014 dengan harapan mencari lebih ramai pemain berbakat di peringkat akar umbi.

Dengan objektif meningkatkan taraf bola sepak negara, skop tumpuannya terarah kepada pendidikan kejurulatihan, pencarian bakat dan menganjurkan pertandingan yang berkualiti seperti Piala Supermokh.

Dengan kerjasama Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS), NFDP kini memiliki sembilan pusat latihan, termasuk di Kuching, Samarahan, Bintulu dan Belaga.

Abdul Wahet berkata ketika ini NFDP Sarawak mempunyai peserta daripada kalangan usia tujuh hingga 14 tahun.

"Ini bermakna mereka ada sekurang-kurangnya dua hingga tujuh tahun lagi untuk matang sebelum beraksi dalam Piala Belia dan Piala Presiden.

"Malah, ia landasan terbaik untuk membentuk mereka sebelum bersaing untuk memasuki sekolah sukan, termasuk Sekolah Sukan Tabuan Jaya," katanya.

Pun begitu, kata Abdul Wahet, jumlah itu tidak cukup dan berbanding geografi Sarawak yang tersangat besar dan bakatnya berselerak.

"Sebaik-baiknya, kita perlu wujudkan pusat ini di setiap bahagian yang kemudian dicantumkan ke peringkat zon yang mengandungi tiga bahagian," katanya.

Namun, tegasnya, suntikan dana sekurang-kurangnya RM1.5 juta diperlukan.

"Ia untuk membiayai program, gaji jurulatih, membeli peralatan dan mengadakan perlawanan kompetitif untuk pasukan-pasukan ini.

"Banyak pihak yang tidak nampak ini kerana di sinilah bakat sebenar pemain bola sepak dapat digali dan merekalah yang bakal mengisi kekosongan pemain kita dalam tempoh 10 tahun akan datang. Mereka seterusnya membantu menaikkan semula pasukan Sarawak ke kancah saingan Liga Malaysia," ujarnya.