TOTTENHAM HOTSPUR 5 RED STAR BELGRADE 0

Hary Kane berkata perjalanan Tottenham Hotpsur masih panjang sambil percaya pasukan itu sudah kembali ke landasan yang sepatutnya selepas membelasah Red Star Belgrade 5-0 dalam perlawanan Liga Juara-Juara Eropah di London awal pagi tadi.


Spekulasi mengenai masa depan Mauricio Pochettino semakin bertiup kencang selepas pasukannya hanya memenangi satu daripada tujuh perlawanan terakhir, namun pengurus Spurs itu sudah boleh menghela nafas lega dengan prestasi yang dipaparkan pasukannya ketika menjinakkan lawan dari Serbia itu.

Dua jaringan pembukaan Kane dan satu daripada Son Heung-min meletakkan pasukan tuan rumah itu selesa mendahului 3-0 menjelang waktu rehat sebelum Erik Lamela muncul penjaring gol keempat dan Kane memutlakkan kemenangan pertama mereka dalam Liga Juara-Juara musim ini.

Spurs, yang sedang menduduki tangga ketujuh dalam Liga Perdana Inggeris, akan berdepan pendahulu, Liverpool, dalam aksi domestik hujung minggu ini dan Kane berasakan pasukannya telah membuktikan bahawa mereka boleh mendatangkan masalah buat skuad kendalian Jurgen Klopp itu.

"Ia amat hebat dan itulah yang kami perlu lakukan," katanya kepada BT Sport.

"Kami sedar kami sedang melalui waktu sukar dan ia respons yang amat sempurna.

"Kami mahu keluar dari situasi itu dan memberikan tekanan.

"Sudah pasti, kami perlu menjaringkan gol awal, kami amat kejam di depan gol dan tidak dibolosi.

"Perkara terpenting adalah kemenangan ini.

"Kami menang 5-0 dan itulah yang kami perlukan.

"Perjalanan kami masih jauh.

"Harap-harap kemenangan ini dapat dijadikan satu permulaan.

"Liverpool pasukan yang kuat dan mereka sedang menantikan kami.

"Amat jelas mereka memulakan musim dengan hebat, namun saya harap kami dapat memenangi perlawanan itu," katanya.