Bintang Croatia, Ivan Perisic, memberi amaran kepada rakan sepasukannya untuk meningkatkan prestasi bagi berdepan Denmark dalam aksi pusingan kedua Piala Dunia 2018.

Skuad kendalian Zlatko Dalic itu menamatkan saingan Kumpulan D dengan rekod bersih tiga kemenangan setelah mengatasi Iceland 2-1, awal pagi tadi.

Perisic menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-90, sekali gus memadamkan gol penyamaan Gylfi Sigurdsson setelah Milan Badelj memberikan Croatia pendahuluan.

Bagaimanapun, pemain sayap Inter Milan itu menegaskan pasukannya perlu beraksi lebih baik untuk menghadapi Denmark dalam pusingan 16 pada Ahad nanti.

"Saya menonton aksi separuh masa pertama Denmark sewaktu berdepan Perancis," katanya.

"Mereka adalah pasukan yang kuat. Kami harus mengenal pasti tentang mereka dan beraksi lebih baik berbanding sewaktu berdepan Iceland."

Dalam masa sama, Perisic turut memuji rakan sepasukannya yang tidak mudah berpuas hati dalam perlawanan ketiga walaupun sudah meraih dua kemenangan, sebelum itu.

"Sebelum perlawanan, kami mempunyai peluang 99 peratus untuk berada di tangga teratas tetapi kami menunjukkan perwatakan sebenar dan menyelesaikan tugas kami dengan tiga mata lagi untuk ke pusingan kedua."