Johor Darul Ta'zim (JDT) adalah destinasi terbaik buat bakat muda tempatan yang mengimpikan limpahan kejuaraan walaupun wujud kegusaran faktor minit permainan yang berupaya merencatkan perkembangan kerjaya.

Itu realiti yang ditawarkan pemilik skuad Harimau Selatan itu, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Pemain muda yang bekerja keras dan memiliki kemahuan berpeluang untuk menyinar bersama kelab itu dalam saingan domestik dan tertinggi Asia.

Ada segelintir pihak yang menegaskan JDT tempat berkuburnya kerjaya pemain tempatan ketika kelab itu berminat mendapatkan khidmat sebilangan besar graduan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) yang membentuk skuad B-19 kebangsaan ketika ini.

Namun, Tunku Ismail menjadikan Safawi Rasid, Syafiq Ahmad, Akhyar Rashid dan Afiq Fazail sebagai contoh terbaik bakat tempatan yang menikmati pelbagai limpahan kejayaan di sebalik usaha luar biasa mereka.

"Kalau nak main setiap perlawanan, pergi wakil PKNP FC. Kalau nak main setiap aksi, main untuk Felda United. Anda akan meraih kesebelasan utama dalam setiap perlawanan dan selepas itu, anda bergelar pemain bola sepak.

"Tetapi jika mahu status juara, datang ke JDT. Peluang lebih tinggi untuk menang dan dalam masa sama, anda menerima lebih pendedahan di pentas Liga Juara-Juara Asia (ACL)," kata Tunku Ismail ketika hadir ke pejabat Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di Bukit Jalil, semalam.

"Adam Nor Azlin beraksi dalam ACL, begitu juga Safawi dan Akhyar. Untuk berada dalam kelab bola sepak profesional, anda harus berjuang untuk dapatkan tempat. Itulah pemain bola sepak profesional.

"Jika tidak mahu bertarung bagi mendapatkan tempat dan hanya mahu jaminan, anda tidak akan berkembang kerana berada dalam kedudukan selesa."