Pengendali skuad kebangsaan, Nelo Vingada, hanya mengekalkan 14 pemain daripada barisan negara yang berdepan Hong Kong pada 10 Oktober lalu untuk dua aksi kelayakan Piala Asia berdepan Korea Utara di Buriram, Thailand 10 dan 13 November ini.

Dengan hanya satu mata daripada tiga aksi kelayakan Kumpulan B, skuad negara perlu meraih keputusan positif dalam baki tiga perlawanan kelayakan untuk mencerahkan kembali laluan ke pusingan akhir.

Dalam kalangan 24 pemain kali ini, 10 daripada mereka tidak berada dalam skuad berdepan Hong Kong dan secara keseluruhan, 12 pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) disenaraikan, termasuk Afiq Fazail, yang dipanggil menyertai skuad senior buat julung kalinya.

Bekas pemain negara, Asmawi Bakiri dan Jalil Rambli, menyifatkan skuad Harimau Malaya kali ini mampu memberikan sedikit harapan dalam usaha meraih keputusan positif walaupun tiada jaminan kemenangan akan dicapai.

“Berdasarkan barisan kali ini, saya menaruh sedikit harapan dalam dua pertemuan berdepan Korea Utara nanti. Kini terpulang kepada Vingada untuk membuat percaturan,” kata Asmawi.

Tindakan Vingada mengekalkan pemain daripada skuad Sukan SEA 2017, Syamer Kutty Abba, Adam Nor Azlin dan Safawi Rasid serta memanggil Syafiq Ahmad dan Nor Azam Azih turut dilihat sebagai usaha positif dalam membentuk barisan seimbang.

"Ini suatu perkembangan menarik bagi saya. Vingada bukan sahaja berani memanggil pemain muda untuk berlatih bersama, malah berani meletakkan mereka dalam kesebelasan utama seperti apa yang berlaku kepada Syamer.

"Ini suatu petanda bahawa kita tidak ketandusan pemain-pemain muda. Meskipun belum mencapai tahap yang diperlukan, ia mampu memberi pendedahan dan peningkatan kepada pemain," kata Jalil.

Senarai penuh pemain: