Perancis memanggil pertahanan Marseille, Jordan Amavi, untuk menggantikan Lavyin Kurzawa dari Paris Saint-Germain (PSG) yang mengalami kecederaan.

Kurzawa mengalami kecederaan lutut semasa latihan di Clairefontaine, Selasa lalu, dan sekalipun mendapat rawatan intensif, dia tidak dapat pulih sebelum menghadapi Bulgaria dan Belarus dalam kelayakan Piala Dunia pada Ahad dan Rabu ini.

Oleh itu, jurulatih Perancis, Didier Deschamps, bakal menurunkan Amavi, pemain yang dipinjam Marseille dari Aston Villa.

Pemain berusia 23 tahun itu belum pernah bermain bersama skuad senior Les Bleus walaupun kerap beraksi di peringkat remaja, termasuk dengan pasukan bawah 21 tahun.

Dengan Benjamin Mendy turut mengalami kecederaan, pilihan Deschamps di bahagian pertahanan kiri kini terarah kepada pemain Barcelona, Lucas Digne, dan Amavi.

Laurent Koscielny, Paul Pogba dan Ousmane Dembele adalah antara pemain utama lain yang diketepikan Perancis akibat kecederaan.

Perancis menduduki tangga teratas Kumpulan A dengan berbaki dua perlawanan, diekori rapat Sweden yang ketinggalan hanya satu mata, selain Belanda dan Bulgaria juga memberi tentangan sengit.