Perak cari jalan bantu Khalid -- MB

Oleh Bernama 7 Julai 2020 2042
Perak cari jalan bantu Khalid -- MB
Kerajaan Negeri Perak akan mencari jalan terbaik bagi membantu bekas pemain bola sepak kebangsaan, Khalid Jamlus, yang terpaksa menjual barangan peribadinya atas faktor kewangan baru-baru ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata pihaknya ada mengadakan pertemuan dengan pengurusan Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) bagi membincangkan mengenai bantuan yang perlu diberikan kepada bekas pemain Perak itu.

"Saya ada berbincang dan mereka berkata mahu berjumpa dengan Khalid. Tengoklah apa yang kami boleh lakukan untuk membantu. Kami bukan bantu sebagai kerajaan atau persatuan tetapi sebagai sahabat yang membantu.

"Saya berasa susah hati apabila mendengar ada dalam kalangan bekas pemain, penyerang kebangsaan dan juga yang banyak berjasa kepada pasukan negeri Perak terpaksa menjual barangan yang mempunyai nilai sentimental kerana tekanan hidup," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat Persatuan Maahad Tahfiz Al-Quran Negeri Perak (Pematap) di Bangunan Perak Darul Ridzuan yang turut dihadiri pengerusinya, Mohd Azlan Suhaimi.

Baru-baru ini, bekas penyerang kebangsaan itu dilaporkan menjual kasut emas yang dimenanginya 18 tahun lalu dengan harga RM10,500 menerusi satu bidaan secara langsung di Facebook miliknya.

Selain kasut emas, Khalid turut membuat lelongan pelbagai barangan peribadi termasuk poster, jersi serta medal yang dimenanginya sepanjang kariernya atas faktor kewangan selepas tiga tahun tiada pekerjaan.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen