Pepe tinggalkan Besiktas yang bermasalah

Oleh Staff Writer 18 Disember 2018 5404
Pepe tinggalkan Besiktas yang bermasalah
Bekas pertahanan Real Madrid, Pepe, telah meninggalkan Besiktas serta-merta selepas disahkan oleh kelab yang dilanda masalah kewangan itu.

Pemain berusia 35 tahun itu menyertai gergasi Turki itu pada Julai tahun lalu selepas meninggalkan Real Madrid secara percuma dan dia melakukan 23 penampilan dalam musim penuh pertamanya.

Dia terus membarisi pasukan, tampil 10 kali dalam perlawanan Liga Super tatkala aksi terakhirnya adalah ketika berdepan Sivasspor, 11 November lalu.

Bagaimanapun, memandangkan Besiktas kini dilanda masalah kewangan dan cuba untuk mengurangkan jumlah gaji, situasi mengaitkan Pepe diperkatakan sejak beberapa minggu lalu dan dia memberikan tanda perpisahan kepada penyokong dalam aksi bertemu Trabzonspor yang berakhir 2-2, Ahad lalu.

Semalam, Besiktas mengesahkan perkara itu melalui satu kenyataan: "Besiktas dan Kepler Laveran Lima Ferreira Pepe telah menemui kata sepakat untuk membatalkan kontrak. Pihak kelab mengucapkan terima kasih kepada bintang Portugal itu di atas sumbangan yang telah diberikan dan mengucapkan selamat maju jaya dalam kariernya."

Wujud laporan bahawa Pepe telah membayar gaji beberapa staf pasukan sebelum kontraknya ditamatkan tatkala ia bernilai EUR9.5 juta (RM45 juta) sebelum bonus.

Laporan lain mengatakan bek tengah berpengalaman itu bercadang untuk kembali ke Portugal bagi menghabiskan sisa kariernya.

Porto dikatakan mahu membawanya pulang ke Estadio Do Dragao, di mana kali terakhir Pepe bermain mewakili mereka adalah 2007.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen