Pemain pertahanan Portugal, Pepe, memberi amaran kepada Switzerland bahawa pertembungan kelayakan Piala Dunia mereka pasti berbeza sama sekali dengan Cristiano Ronaldo kembali dalam skuad itu di Lisbon, awal pagi esok.

Tempat di Russia 2018 menjadi rebutan apabila jaguh Eropah dan pasukan di tempat kedua itu akan menanti kunjungan Switzerland yang belum pernah kalah dalam saingan Kumpulan B.

Skuad bimbingan Vladimir Petkovic itu menang kesemua sembilan perlawanan terdahulu, dengan kemenangan sulung diraih apabila mereka menewaskan Portugal 2-0 pada September tahun lalu ketika Ronaldo terpaksa diketepikan ekoran kecederaan.

Dengan Ronaldo kembali cergas dan menggegar gawang Andorra minggu lalu, Pepe yakin Portugal sudah bersedia untuk mengatasi pencabar mereka itu untuk merebut kelayakan secara automatik sekiranya mereka menang.

"Dalam perlawanan sulung itu, kami tidak memiliki pemain paling penting kami, Cristiano Ronaldo," kata bekas rakan sepasukan Ronaldo di Real Madrid, Pepe.

"Ia sudah semestinya aksi berbeza sama sekali.

"Saya tahu Cristiano mahu berada dalam Piala Dunia tahun depan.

"Anda boleh bertanyakannya dan sebagai rakan, saya tahu matlamatnya. Saya boleh jamin Cristiano mahu membantu Portugal mencapai kemenangan dan seterusnya beraksi dalam Piala Dunia.

"Adakah mana-mana pasukan yang tidak akan bertambah ampuh dengan kehadiran Cristiano Ronaldo? Saya tidak fikir begitu. Dengan Ronaldo, jelas sekali pasukan kami lebih berharga," katanya.

Sambung Pepe: "Pemain mana yang tidak mahukan kemenangan? Pemain yang tidak menginginkannya, lebih baik usah bersama kami. Semua orang mahu menang, pemain dan rakyat Portugal.

"Ia akan menjadi aksi yang sukar tetapi kalau kami bersatu -- pemain dan penyokong -- ia akan menyulitkan pihak lawan. Kami mempunyai tugas dan perlu melaksanakan arahan jurulatih. Ayuh kita hadapi perlawanan ini dengan tumpuan kompetitif."