Pepe berharap untuk mendapatkan lanjutan kontrak bersama Real Madrid dan mahu bersara di Santiago Bernabeu.

Pertahanan berusia 33 tahun itu mengharungi musim yang berjaya, memenangi Liga Juara-Juara (UCL) bersama Real dan menjulang Euro 2016, dan pemain kebangsaan Portugal itu berhasrat untuk terus bersama gergasi Sepanyol itu.

Selepas menandatangani kontrak pada Ogos 2015 yang bakal berakhir penghujung musim ini, Pepe telah berbincang bersama kelab mengenai hasratnya untuk bersama Real sehingga dia bersara.

"Perancangan saya adalah untuk bersara di Real Madrid," kata Pepe.

"Saya sudah berusia 33 tahun, musim lalu adalah musim yang terbaik dalam kerjaya saya.

"Segala keputusan terletak di tangan kelab. saya akan menunggu keputusan mengenai kontrak saya."

Bekas pemain Porto itu telah membuat sembilan penampilan untuk Madrid dalam semua pertandingan musim ini dan telah menjaringkan satu gol.