LOKOMOTIV MOSCOW 1 ATLETICO 1

Pengurus Atletico Madrid, Diego Simeone, kesal anak buahnya kekurangan daripada segi klinikal tetapi tetap gembira menyaksikan pasukannya mendominasi permainan di sebalik diikat 1-1 dengan Lokomotiv Moscow dalam kempen Liga Juara-Juara (UCL).


Prestasi Atletico di RZD Arena gagal meraih ganjaran yang sewajarnya memandangkan kelab Sepanyol itu melakukan 14 percubaan tepat berbanding lawan hanya empat kali ketika menguasai 64.9 peratus permainan awal pagi tadi.

Selepas gol tandukan Jose Gimenez pada minit ke-18 dibatalkan oleh sepakan penalti Anton Miranchuk tujuh minit kemudian, Atletico buntu menokok jaringan biarpun memiliki deretan peluang.

Dua percubaan pelawat menggegar palang selain jaringan yang dibatalkan, manakala penjaga gol Lokomotiv, Guilherme, bertindak cemerlang memastikan kekentalan kubunya.

Sehubungan itu, prestasi keseluruhan Atletico menggembirakan pengurus kelahiran Argentina tersebut yang dua kali memimpin Atletico ke final UCL.

"Kami meninggalkan gelanggang ini dengan imej pasukan yang sangat baik," katanya.

"Penjaga gol lawan memperagakan aksi hebat, dia membaca permainan dengan baik.

"Kami berdepan sebuah pasukan bagus yang gemar bertahan. Sayang sekali kami tidak memiliki kekuatan untuk menghasilkan gol tetapi saya rasa ini adalah cara untuk memenangi pertembungan ini."




Atletico menyajikan aksi yang menghiburkan dan menciptakan banyak peluang apabila Luis Suarez dan Joao Felix masing-masing memiliki peluang terhidang.

Tandukan Koke dan rembatan deras Angel Correa dari jarak 20 ela menggegar palang Lokomotiv tetapi gol kemenangan tidak juga kunjung tiba.

Suarez sempat menyempurnakan bola muntah selepas usaha Koke menggegarkan palang gol itu sebelum dia pula didapati ofsaid.

Atletico membuat 27 hantaran lintang dengan bek kanan, Kieran Trippier, mencipta lapan daripadanya.

Pertahanan England itu acap menjana serangan dan sekiranya hantarannya lebih tepat, Atletico mungkin akan mendapat pulangan lebih berbaloi.

Koke sependapat dengan pengurusnya itu bahawa Atletico perlu mematikan perlawanan dengan penyudah berkesan.

"Perlawanan ini tidak memihak kami. Kami tidak dapat terkilan, kami akan perlu teruskan usaha," katanya kepada Marca.

"Kami berhempas pulas untuk cuba membawa pulang tiga mata tetapi tidak berhasil. Kami mempunyai peluang: palang, penjaga gol, jaringan yang tidak disahkan.

"Kami hanya perlu teruskan aksi seperti ini, kami telah melaksanakan satu tugasan yang hebat."