Penyokong sukar terima penjaga gol kulit hitam -- Onana

Oleh Staff Writer 1 Januari 2020 355
Penyokong sukar terima penjaga gol kulit hitam -- Onana
Andre Onana mendakwa ada sebuah kelab lain memilih untuk tidak menandatanganinya pada 2017 kerana berasakan penyokong tidak boleh menerima seorang penjaga gol berkulit hitam.

Pemain berusia 23 tahun itu yang dilahirkan di Cameroon dan telah berada di Eropah selama 12 tahun, hadir menerusi akademi Barcelona sebelum bertukar ke Ajax pada 2015.

Sejak itu, dia kekal bersama pasukan sehingga menjadi pilihan utama gergasi Amsterdam itu sejak musim 2016-17 dengan membantu kelab berkenaan melangkah ke final Liga Europa.

Selepas tamat perlawanan itu -- tewas 2-0 kepada Manchester United -– ia merupakan peluang buat Onana untuk berpindah.

Bagaimanapun, dia mendakwa terdapat pihak yang berminat memilih untuk tidak menandatanganinya kerana berasakan penyokong tidak boleh menerima seorang penjaga gol berkulit hitam.

Bercakap kepada akhbar Belanda, Het Parool, Onana berkata, "Isu perkauman tidak pernah hilang. Saya perlu menanganinya dalam setiap perlawanan di tempat lawan.

"Saya berbangga kerana berkulit hitam. Jika anda melihat saya seperti seekor monyet, tidak mengapa. Saya tidak melihat sebarang perbezaan di antara kulit hitam atau putih. Jika anda melihatnya, berbeza, itu masalah anda.

"Saya sudah berada di Eropah selama 12 tahun. Saya telah tinggal dan bekerja bersama pemain-pemain dari serata dunia.

"Masalah isu perkauman ini sudah ada lama sebelum saya dilahirkan. Ia bukan sesuatu yang baru.

"Apa yang boleh saya katakan, sukar buat penjaga gol berkulit hitam mencapai tahap tertinggi. Saya berjaya membantu Ajax melangkah ke final.

"Selepas tamat perlawanan, pengurus saya telah bercakap dengan beberapa kelab yang berminat tetapi mereka mengambil keputusan untuk tidak mendapatkan saya kerana berpandangan penjaga gol berkulit hitam sesuatu yang sukar diterima penyokong."


Editor: Ammar Hakim

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen