Penyokong Melaka United mencatatkan jumlah kehadiran paling tinggi ke stadium pada tahun ini dengan jumlah 126,787 orang, menurut satu statistik yang dikeluarkan Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP).

"Tahniah dan terima kasih kepada penyokong-penyokong setia Melaka United yang tidak serik memberi sokongan padu kepada pemain. Sama-sama kita meneruskan sokongan untuk Melaka United dalam Liga Super 2017," kata kenyataan Melaka United Football Club (MUFC).

Tambah kenyataan berkenaan, ini adalah tanda sokongan padu yang diberikan oleh penyokong terhadap pasukan Melaka United tahun ini.

"Tak dilupakan juga usaha Ultras Taming Sari yang tidak pernah penat mengalunkan lagu semangat di dalam Stadium Hang Jebat mahupun di tempat lawan.

"Semoga sokongan yang diberikan ini tidak hanya sampai di sini, pasukan Melaka United harus sentiasa disokong agar empayarnya berterusan."

Jumlah kedua tertinggi adalah Negeri Sembilan iaitu 35,285 orang dan ketiga, Johor Darul Takzim (27,012).