Jurulatih pasukan negara, Datuk Ong Kim Swee, mengakui penjaga gol Selangor, Khairul Azhan Khalid, menjadi pilihan utamanya selepas khidmat penjaga gol senior, Khairul Fahmi Che Mat, diketepikan untuk aksi persahabatan antarabangsa menentang Singapura, Jumaat ini.

Penyingkiran Khairul Fahmi pada saat akhir bukan disebabkan masalah kecederaan atau kecergasan, sebaliknya tindakan itu dilakukannya kerana mahu menguji dua penjaga gol lain, Khairul Azhan dan penjaga gol muda Perak, Hafizul Hakim.

Berdasarkan pengalaman di peringkat antarabangsa, Khairul Azhan jelas memiliki kelebihan untuk beraksi dalam kesebelasan utama dan perkara itu tidak dinafikan jurulatih berkenaan.

"Saya juga ingin melihat Hafizul bermain, mungkin bukan sepenuh masa. Jika perancangan dalam perlawanan mengikut apa yang kami jangkakan, kemungkinan Hafizul akan beraksi dalam perlawanan menentang Singapura," katanya.

Kedua-dua penjaga gol itu tidak diuji dalam aksi persahabatan terdahulu ketika Malaysia tumpas 3-0 kepada Indonesia di Solo, 6 September lalu.

Lantas, sudah pasti pengendali berusia 46 tahun itu berharap perubahan ini mampu menjelmakan keputusan positif dalam pertemuan menentang skuad Singapura di Kota Singa.

"Penting kita menunjukkan prestasi secara berpasukan. Pada masa yang sama, kita ingin keputusan yang baik, di mana ia sudah tentu memberi moral yang baik untuk menentang Afghanistan, selain persiapan untuk Piala AFF Suzuki 2017," tambahnya.

Selain Apek, Kim Swee turut menggugurkan pemain Sarawak, Ronny Harun, Matthew Davies (Pahang), Ahmad Khuzaimi Piee (Melaka) dan Nasir Basharuddin (Perak), menjelang aksi persahabatan menentang Singapura.

Perlawanan itu akan disiarkan secara langsung di Astro Arena, saluran 801 dan 802 HD, bermula dengan pra-rancangan pada jam 8.00 malam.