Penyerang Senegal perkuat KT Rovers

Oleh Tengku Danish Bahri 23 Februari 2020 114
Penyerang Senegal perkuat KT Rovers
Penyerang kelahiran Senegal, Baptiste Faye, dijadikan sandaran utama Kuala Terengganu (KT) Rovers menghadapi Liga M3 yang bermula 7 Mac ini.

Ketua jurulatih, Mohd Azahari Salim berkata, ketika ini pasukannya sedang menguruskan proses akhir dokumentasi visa sebelum pemain berusia 33 tahun itu dapat diturunkan.

Kemasukan Faye menurutnya diharap memperkemaskan jentera serangan KT Rovers dengan pengalamannya beraksi di Portugal, Romania dan Afrika Selatan.

Penjenamaan semula KT Rovers musim ini turut menyaksikan kehadiran bekas kapten T-Team, Mohd Hasbullah Awang, Mohd Hassan Basri serta pemain sayap, Zarulizwan Mazlan.

"Ketiga-tiga mereka merupakan tonggak pasukan dengan Hasbullah dan Hassan di bahagian benteng manakala Zarulizwan juga mampu menyinar.

"Saya agak terkilan dia (Faye) tidak dapat beraksi hari ini (semalam) tapi saya jangka untuk saingan liga, dia akan memperkuatkan KT Rovers," jelas Azahari.

KT Rovers meneruskan kemaraan ke pusingan kedua Piala FA malam tadi selepas mengatasi Thai Selangor FC 4-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.

Tuan rumah bermula garang dan mendahului menerusi jaringan Azuhal Aiman Abdul Rahman pada minit keenam dan Hakimi Mazalan (m-19).

Mohd Izarudin Hashim merapatkan kedudukan 1-2 buat Thai Selangor FC di penghujung babak pertama namun kebangkitan mereka dihalang tuan rumah.

Dua lagi gol dihasilkan KT Rovers melalui Hakimi Nuwawi pasa minit ke-58 disusuli jaringan Saiful Nizam Abdullah (m-79) untuk mengesahkan kemenangan pasukannya.

"Momentum pasukan semakin meningkat dan perancangan untuk mendapatkan gol awal berjaya dipenuhi," tambah Azahari.

Kredit foto: KT Rovers

Tentang Penulis

Tengku Danish Bahri

Komen