ATHLETIC BILBAO 5 GENK 3

Aritz Aduriz muncul pemain pertama sejak 1994 untuk menghasilkan lima gol dalam satu perlawanan Liga Europa ketika membantu Athletic Bilbao mencipta kemenangan 5-3 ke atas Genk.




Kelima-lima percubaan tepat yang dilakukan Aduriz ke arah pintu gol, semuanya berakhir dengan gol.

Fabrizio Ravanelli menjadi pemain terakhir menyumbat lima gol dalam satu perlawanan dalam saingan divisyen dua Eropah itu, manakala Aduriz sudah merekodkan 10 gol dalam saingan kali ini.

Penyerang Sepanyol berusia 35 tahun itu membuka tirai gol perlawanan di San Mames sebelum melengkapkan jaringan hatriknya pada separuh masa pertama menerusi dua sepakan penalti.

Selepas ketinggalan dengan dua gol, Genk cuba memberi saingan menerusi gol Leon Bailey, sebaliknya Bilbao mengukuhkan kedudukan dengan gol ketiga ketika perlawanan menuju ke waktu rehat.

Pada separuh masa kedua, kerancakan perlawanan berterusan apabila Genk merapatkan kedudukan kepada 3-2 menerusi Wilfred Ndidi.

Kedudukan itu, bagaimanapun, tidak bertahan lama apabila Aduriz meledak dua gol lagi untuk memadamkan sisa perjuangan Genk yang menghasilkan gol ketiga menerusi Tino-Sven Susic.

Kejayaan itu melonjakkan kedudukan Athletic -- yang kini menghuni tangga ketujuh La Liga -- untuk berada di kedudukan kedua Kumpulan F dengan baki dua perlawanan lagi.