Bekas pengurus Selangor, Amirudin Shari mengesahkan penswastaan pentadbiran Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) adalah antara perkara yang dibincangkan Presiden FAS, Datuk Seri Mohmed Azmin Ali dalam pertemuan bersama timbalannya, Datuk Mokhtar Ahmad, khamis lalu.

Bagi Amirudin, perubahan yang ingin dilakukan Azmin sebenarnya adalah selaras dengan usaha Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) untuk menswastakan pentadbiran setiap pasukan dalam kancah Liga Malaysia.

Kerana itu, jelas Amirudin, Azmin mahu perubahan daripada segi kaedah pentadbiran FAS.

“FAM telah mensyaratkan pada 2018 supaya pasukan diswastkan sepenuhnya selepas liga telah diswastakan. Menteri Besar memerlukan perubahan di dalam pentadbiran persatuan,” kata Amirudin.

Amirudin mengakui masalah dalaman yang melanda FAS kini memberi kesan kepada pasukan dengan beberapa lagi pemain tonggak dilaporkan akan meninggalkan Selangor dalam masa terdekat.

Amirudin turut menegaskan dia juga tidak akan menguruskan skuad Selangor musim depan dan pembabitannya kini hanya sebagai pengerusi Majlis Sukan Negeri Selangor.

Bagaimanapun, Amirudin tetap optimis masalah dalaman FAS akan terlerai dan Selangor akan tetap berupaya membariskan pasukan seimbang walaupun kehilangan ramai tonggak utama.

“Ini bukan kali pertama kami perlu melalui perkara ini, pada 2015 kami kehilangan enam tonggak dan kami masih mampu menghadapi saingan musim lalu. Pada saya apa yang penting adalah jika kami dapat menyelesaikan isu pentadbiran, perkara lain juga dapat diselesaikan.”