Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Windsor John, menggesa kesemua persatuan bola sepak di Malaysia mengambil serius usaha penswastaan Liga Malaysia (Liga-M) dengan menukar status daripada persatuan bola sepak (FA) kepada kelab bola sepak (FC).

AFC dikhabarkan tidak akan melayan permohonan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk memanjangkan tarikh akhir proses itu hujung bulan ini.

Dalam satu temu bual eksklusif bersama pewarta Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam, wakil badan induk bola sepak Asia itu berkongsi impak kegagalan itu kepada industri bola sepak di Malaysia.

"Memang keputusan AFC adalah muktamad dan kami tidak boleh memanjangkannya (tempoh) lagi kerana ia akan menimbulkan konflik dalam peraturan pertandingan antara kelab.

"Tapi apa yang membuatkan kami berasa selesa pada ketika ini adalah situasi di mana FAM, MFL (Liga Bolasepak Malaysia) dan kelab telah bekerja keras untuk mengambil langkah yang tepat.

"Seperti yang kita tahu, ada dalam enam, tujuh atau lapan pasukan yang mungkin dapat mengubah status daripada FA kepada FC.

"Jadi, itulah yang kita perlukan, satu komitmen untuk berubah.

"Apabila komitmen itu kita dapat lihat, daripada satu kelab, iaitu JDT (Johor Darul Ta'zim), kita dapat tujuh atau lapan kelab lagi, mungkin kami (AFC) akan melihat semula apa yang boleh dibantu kepada FAM.

"Kami perlu melihat sehingga hujung bulan ini sejauh mana MFL, FAM dan kelab-kelab dapat mencapai status ini.

"Jika sesetengah kelab dapat mencapai 90 peratus (lengkap), mungkin ia menjadi satu faktor yang baik untuk kami luluskan juga.

"Kalau masih lagi 0 (peratus), mungkin mereka memerlukan masa yang panjang tetapi kelab-kelab yang sudah memulakannya, kami menggalakkan mereka untuk mencuba menghabiskan (proses itu).

"Jika mereka sudah mencuba tetapi masih tidak boleh habiskan, satu permohonan lain boleh dibuat juga, tiada masalah.

"Tetapi jika tidak mencuba langsung, kami tidak boleh membantu," katanya.

Jika gagal melengkapkan proses penswastaan itu, sesebuah liga boleh "jatuh taraf" dan bagi memberikan penjelasan mengenai perkara itu, Windsor menambah: "Jatuh taraf itu sebenarnya, daripada pandangan AFC, liga itu tidak diiktiraf sebagai liga profesional. Itulah daripada kaca mata AFC.

"Walaupun pasukan dan modulnya profesional, perkara ini perlu dilengkapkan juga, maknanya mereka (Liga-M) mempunyai pasukan yang digelar sebagai kelab.

"Yang kedua, mereka (FAM) hilang kuasa untuk memberikan lesen.

"Maknanya, lesen pada tahun depan akan diberikan terus daripada AFC.

"Contohnya jika Selangor berjaya (ke saingan AFC), mereka perlu memohon terus kepada AFC dan kami akan menghantar pegawai untuk melakukan penyilidikan dan penyiasatan dan sebagainya untuk melihat sama ada lesen boleh diberikan ataupun tidak.

"Ia secara tidak langsung akan mengambil kuasa itu daripada FAM.

"Jadi, ia akan menjadi sesuatu yang kami rasakan negatif buat imej bola sepak profesional di Malaysia selain FAM dan MFL," katanya lagi.