Pemain Atletico Madrid, Jan Oblak, menjadi penjaga terpantas mencatatkan rekod 100 perlawanan tanpa bolos dalam sejarah LaLiga selepas membantu pasukannya menewaskan Osasuna 5-0 di Estadio El Sadar awal pagi tadi.

Osasuna berdepan kesukaran besar ketika bintang atletico itu mencatatkan rekod 100 perlawanan tanpa bolos daripada 182 penampilannya dalam liga itu.

Pemain kebangsaan Slovenia itu mengatasi rekod yang dilakukan oleh Miguel Reina (222 penampilan).

Oblak menempatkan dirinya sebagai antara penjaga gol terbaik di dunia sejak menyertai Atletico daripada Benfica pada 2014.

Pemain berusia 27 tahun itu telah menikmati kejuaraan Liga Europa, Piala Super UEFA dan Supercopa de Espana bersama Atletico selain muncul naib juara Liga Juara-Juara Eropah musim 2015-16.

Atletico kini berada di tangga keempat LaLiga selepas 29 perlawanan dan sedang merebut peluang untuk ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan.