Ketua jurulatih AC Milan, Gennaro Gattuso, percaya peningkatan mentaliti pasukan kendaliannya itu sejak sebulan lalu mampu memberikan mereka kelebihan ketika berdepan seteru setempat, Inter Milan, awal pagi esok.

Skuad Rossoneri itu melalui permulaan Serie A yang suram musim ini tetapi bangkit dengan kemenangan ke atas Sassuolo dan Chievo serta mengatasi cabaran Olympiacos dalam aksi Liga Europa.

Kekalahan di tangan pasukan bimbingan Luciano Spalletti itu akan membuatkan Milan ketinggalan tujuh mata di belakang seteru utama mereka itu, menyebabkan tekanan kian meningkat buat Gattuso.

Namun, pengurus Milan itu yakin anak buahnya berada di prestasi terbaik dalam usaha untuk mendapatkan mata maksimum.

"Kami telah meningkat dengan ketara daripada segi mentaliti sejak sebulan lalu," kata Gattuso.

"Pasukan semakin bagus. Kami perlu bermain dengan baik ketika menyerang dan bertahan serta perlu tahu mengawal permainan.

"Secara mentaliti, kami tidak boleh terlalu tertekan dan kehilangan tenaga di atas padang. Inter adalah pasukan yang kuat dengan fizikal dan memiliki pemain berkualiti. Kami tidak takut dan tahu bagaimana untuk beraksi.

"Inter bermain dengan baik ketika ini dan kami memerlukan aksi terbaik tanpa sebarang ketakutan."

Tatkala Inter kini mendahului Milan dalam carta liga, Gattuso percaya pasukannya lebih berkualiti.

"Jika anda melihat pemain secara individu, kami memiliki pelbagai perwatakan," tambah Gattuso.

"Hari ini, Inter berkelebihan daripada segi fizikal dan ia memberi perbezaan. Dalam kualiti, saya tidak fikir mereka lebih bagus."

Dalam masa sama, Gattuso juga memuji penyerang yang dipinjam daripada Juventus, Gonzalo Higuain, selepas penggempur Argentina itu menjaringkan empat gol dalam lima aksi pertama liga buat Rossoneri.

"Musim ini, pasukan lebih sempurna," ujar Gattuso.

"Kami tidak melepaskan banyak peluang seperti musim lalu. Higuain telah meningkatkan kualiti dan kehadiran pemain baru yang lain juga sangat membantu."