JUVENTUS 2 LYON 1
(Lyon mara dengan agregat 2-2 hasil jaringan di tempat lawan)

Rudi Garcia menyifatkan kekalahan Lyon kepada Juventus pada awal pagi tadi sebagai "kekalahan paling bahagia dalam kariernya" yang menyaksikan pasukan bimbingannya itu mara ke suku akhir Liga Juara-Juara (UCL).


Penyudah berbisa Memphis Depay pada awal permainan memastikan Lyon mara menerusi peraturan gol di tempat lawan walaupun Cristiano Ronaldo mencetak jaringan berganda di Turin untuk pertemuan pusingan 16 itu berkesudahan seri 2-2.

Manchester City, yang sekali lagi mengatasi Real Madrid dalam pertemuan timbal balik, akan menjadi ranjau seterusnya buat kelab daripada Ligue 1 itu dalam perlawanan separuh akhir di Lisbon, Sabtu depan dan keputusan itu membuatkan bekas pengurus Roma berkenaan gembira terhadap kejayaan pasukannya.

"Ini adalah saat paling memuaskan dalam karier saya dan mengatasi Juventus sebenarnya merupakan kemuncaknya," katanya kepada Sky Italia.

"Sepakan penalti yang kami bolosi sebelum separuh masa pertama berakhir menyakitkan kami, Juve tidak begitu berbahaya sehinggalah detik itu dan ia menyuntik keyakinan buat mereka.



"Ronaldo menyumbat gol bertaraf UCL, tetapi kami tetap tenang dan itulah yang paling saya hargai mengenai pasukan saya. Kami tidak panik, kami terus menyekat dan semua pemain menyumbang untuk mengawal bola.

"Sukar untuk Juve melakukan yang lebih baik tanpa Paulo Dybala, tetapi kami membuktikan bahawa kami memiliki pertahanan yang ampuh kerana kami juga mampu mengalahkan Paris Saint-Germain (PSG) sepanjang 120 minit perlawanan merebut piala minggu lalu.

"Saya tahu mengenai stadium ini, saya pernah datang ke mari bersama Roma jadi saya tahu betapa sukarnya untuk mencapai kemenangan di sini. Anggap saja ini adalah kekalahan paling membahagiakan dalam karier saya!"

Pelantikan Garcia pada awalnya tidak begitu digemari di kem Lyon memandangkan pengurus kelahiran Perancis itu pernah mengendalikan seteru rapat, Marseille, di antara 2016 dan 2019.

Dia kemudian membimbing Lyon meraih tempat ketujuh Ligue 1 pada 2019-20, selepas kempen Ligue 1 ditamatkan penganjur lebih awal akibat COVID-19.