Pengarah Sukan Borussia Dortmund, Michael Zorc, memberi amaran kepada pengurus, Lucien Favre, bahawa prestasi kelab itu jauh daripada sekadar memuaskan dan menuntut peningkatan ketika bertemu Barcelona, awal pagi Khamis ini.

Dortmund bergelut untuk meraih kemenangan dalam kempen Bundesliga apabila seri 3-3 dengan kelab bawahan, Paderborn, hujung minggu lalu yang menyaksikan mereka hanya meraih dua kemenangan liga daripada lapan perlawanan terakhir mereka.

Prestasi mereka dalam Liga Juara-Juara (UCL) musim ini, bagaimanapun, menghadirkan sedikit kelegaan buat anak buah Favre itu apabila menduduki tempat kedua dalam Kumpulan F, satu mata di belakang Barcelona.

Kemenangan di Camp Nou itu juga bakal mengurangkan tekanan bagi kedudukan pengurus berkenaan.

Walaupun tiada kekhuatiran mengenai kedudukannya sebagai pengurus di Signal Iduna Park, Zorc bagaimanapun melahirkan kebimbangan barisan ahli lembaga pengarah kelab tersebut.

"Jelas topik mengenai perkara itu akan dibincangkan secara terbuka kerana keadaan kami ketika ini jauh daripada memuaskan," kata Zorc kepada Funke Sport.

"Sudah tentu kami akan menganalisis perkara ini secara terperinci tetapi kami akan beraksi di Barcelona di bawah kendalian Lucien Favre dan kami berharap dapat melihat peningkatan prestasi yang memberangsangkan di sana.

"Kami memerlukan satu persembahan jitu. Kami memerlukan persembahan yang baik di atas padang untuk membolehkan kami melihat ke hadapan."

Ketua Pegawai Eksekutif Dortmund, Hans-Joachim Watzke, juga memilih untuk bersuara selepas keputusan dengan Paderborn itu sambil memberi jaminan kepada Favre bahawa dia masih mempunyai sokongan daripada kelab itu.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan prestasi pasukan itu ketika ini tidak akan dibiarkan berterusan tanpa berdepan akibatnya.

"Buat Lucien, anda masih mempunyai keyakinan kami," kata Watzke dalam mesyuarat agung tahunan (AGM) kelab itu.

"Tetapi pada akhirnya, bola sepak selalu ditakrifkan melalui keputusannya.

"Kami semua berharap anda dan pasukan mampu mengubah situasi ini. Anda mempunyai sokongan kami."

Beliau turut memberikan satu mesej tegas kepada pemain: "Anda semua perlu bersatu hati dan bermain seperti yang diharapkan. Sebagai pasukan, anda mesti tahu bahawa kata-kata sahaja tidak memadai.

"Adalah menjadi tugas anda untuk mengotakannya melalui tindakan."