Lucien Favre menyeru semua pihak agar bertenang mengenai kelibat Jadon Sancho di Borussia Dortmund, dengan menganggap harapan yang diletakkan di bahu pemain sayap muda itu boleh mengundang "bahaya".

Pada minggu ini, Sancho disenarai pendek untuk Anugerah Budak Emas 2019 -- satu gelaran yang diberikan kepada pemain terbaik B-21 di Eropah -- selepas mengharungi tahun yang menarik di Jerman.

Pemain berusia 19 tahun itu telah menyumbangkan tiga gol dan membuat lima bantuan gol dalam tujuh perlawanan Bundesliga musim ini.

Begitupun, pengurus itu hanya memulakannya di bangku simpanan ketika seri 2-2 di Freiburg dua minggu lalu akibat keletihan.

Pengendali dari Switzerland itu mempertahankan keputusannya itu dan mengulangi bahawa pemain England itu tidak boleh sentiasa dianggap dalam prestasi terbaiknya setiap minggu, terutama dengan tekanan yang tinggi untuk melihatnya berjaya.

"Harapan ke atasnya yang diletakkan oleh semua pihak sangat tinggi," kata Favre dalam sidang berita semalam apabila akan menyambut kunjungan Borussia Monchengladbach.

"Kita lupa bahawa dia baru berusia 19 tahun. Itu berbahaya.

"Dia masih perlu banyak belajar, dia seorang pemain yang hebat, tiada kesangsian mengenainya tetapi dia masih perlu belajar, dia perlu terus berseronok dan berkembang.

"Potensinya sangat besar, ia sesuatu yang normal bagi setiap pemain. Anda tidak boleh berada di tahap yang tinggi sepanjang tahun. Tidak mustahil, sebulan atau dua bulan dalam tempoh setahun, anda tidak akan berada di tahap 100 peratus.

"Setahun yang lalu, secara dasarnya dia tidak pernah berada di atas padang dan hanya mula beraksi ketika Oktober. Sebelum itu, dia sentiasa berada di bangku simpanan dan perlahan-lahan dia mula mempamerkan bahawa dia perlu bermain."

Sancho diturunkan dalam kesebelasan utama dalam kekalahan England kepada ke Republik Czech dalam perlawanan kelayakan Euro 2020 minggu lalu dan masuk sebagai pemain gantian dalam babak kedua ketika menang 6-0 ke atas Bulgaria, Selasa lalu.

Favre khuatir dengan beban kerja Sancho pada usia muda dan berhasrat untuk melindungi bekas pemain Manchester City itu.

"Dia bermain selama 73 minit ketika menentang Republik Czech dan dibawa masuk ketika menentang Bulgaria. Dia tidak berehat," katanya.

"Jelas sekali adalah hebat untuk mewakili England tetapi bagi saya, ia sesuatu yang normal untuk dia memperlahankan sedikit rentak."