Andrea Pirlo menegaskan semangat tidak mengaku kalah Juventus memastikan mereka bangkit untuk menewaskan Torino dalam Derby della Mole di Turin awal pagi tadi.

Juve ketinggalan gara-gara jaringan Nicolas Nkoulo pada minit kesembilan di Stadium Allianz dan berkemungkinan berdepan kesukaran lebih besar seandainya Simone Zaza menewaskan penjaga gol, Wojciech Szczesny, dalam situasi satu lawan satu.

Bagaimanapun, pasukan tuan rumah itu bangkit menghasilkan dua gol tandukan hasil umpanan lintang Juan Cuadrado -- Leonardo Benucci menanduk masuk gol kemenangan pada minit ke-89 selepas West McKennie menyamakan kedudukan 12 minit sebelum itu.

Ia merupakan kali pertama sejak November 2019, Juve memenangi perlawanan liga selepas ketinggalan dan Pirlo memuji sikap yang dipamerkan pemainnya dalam memenangi perlawanan "derby" itu.

"Apabila anda tewas kesemua cabaran, ia menjadi sukar untuk anda mengawal permainan," katanya kepada Sky Sport Italia

"Kami terlalu statik dan tidak memenuhi kotak penalti apabila kami dapat menemui seorang pemain yang boleh melakukan hantaran lintang. Ia sukar dengan adanya lima pemain pertahanan.

"Kami mengingatinya selepas rehat bahawa DNA Juventus terletak di hati dan pengorbanan. Apabila anda boleh menyekat mereka di kawasan mereka, ia menjadi lebih mudah untuk melakukan serangan," katanya.

Sepakan lencong Paolu Dybala yang mudah diselamatkan Salvatore Sirigu merupakan satu-satunya percubaan Juve dalam babak pertama tetapi juara bertahan itu melakukan tiga percubaan tepat dalam babak berikutnya.

Pirlo memasukkan Aaron Ramsey dan Alex Sandro selepas pasukannya ketinggalan dan berasakan pertukaran yang dilakukannya itu memainkan peranan dalam kebangkitan berkenaan.

"Bukan semua orang boleh sentiasa memberikan 100 peratus tetapi mereka yang dimasukkan mampu memberikan keazaman, dinamik dan semangat menyerang yang telah memberikan kami kemenangan.

"Apabila pasukan lawan menutup ruang dan amat tersusun, anda pelu menggerakkan bola untuk mencipta ruang dan memecahkan mereka.

"Kami tidak melakukannya dalam babak pertama, kami melakukannya selepas rehat. Jika kami tidak mempunyai jiwa, kami tidak dapat menggerakkannya dengan pantas, dan semua itu memainkan peranan.

"Adakalanya, bukan mudah untuk melakukan serangan dengan hanya melakukan hantaran yang kemas, anda perlu berjuang," katanya.