Pertahanan Barcelona, Gerard Pique, menepis kritikan yang dilemparkan kepadanya dengan menyatakan pengkritiknya sudah boleh keluar gua dan menikmati matahari sebaik pasukan itu terikat seri 1-1 dengan Valencia, awal pagi tadi.

Juara bertahan LaLiga itu hanya mampu mencatat keputusan seri dengan rekod tanpa kemenangan mereka kini meningkat kepada empat perlawanan.

Pique, yang sebelum ini melakukan kesalahan besar ketika Barca tewas 1-2 kepada Leganes minggu lalu, sekali lagi menjadi punca kepada jaringan Ezequiel Garay, hanya dua minit selepas perlawanan bermula sebelum Lionel Messi menyelamatkan keadaan menerusi gol penyamaan.

Selepas perlawanan, Pique memberitahu wartawan: "Saya tahu ramai yang mahu saya beraksi buruk. Mereka boleh menikmatinya kini.

"Mereka sudah boleh keluar dari gua dan menikmati sinaran matahari. Ramai daripada mereka menantikan kegagalan saya sebelum ini.

"Apabila kami bolos, ia salah saya. Mereka memang menunggu saya melakukan kesilapan.

"Pihak televisyen boleh mempergunakan kegagalan ini, keluarlah dari gua, kerana keadaan ini tidak akan kekal lama," tambahnya.