Presiden LaLiga, Javier Tebas, menegaskan penghijrahan Cristiano Ronaldo meninggalkan Real Madrid tidak memberikan kesan kepada bola sepak Sepanyol.

Bintang kelahiran Portugal itu meninggalkan Santiago Bernabeu, Julai lalu, untuk menyertai juara Itali, Juventus.

Tebas mengakui risau jika perpindahan itu berlaku empat tahun lalu tetapi percaya LaLiga kini berada di tahap yang lebih tinggi dan sudah bersedia untuk meneruskan saingan tanpa kelibat pemain berkualiti seperti Ronaldo.

"Kami telah membentuk jenama LaLiga mengatasi impak seorang pemain atau kelab," katanya.

"Jika Ronaldo meninggalkan Sepanyol empat tahun lalu, ia membimbangkan saya."

Ronaldo telah menjaringkan empat gol dalam sembilan penampilan dalam semua kejohanan bersama Juventus musim ini.