Jordi Cryuff berpandangan prestasi Real Madrid selepas penghijrahan Cristiano Ronaldo adalah "amaran" kepada Barcelona apabila ia melibatkan Lionel Messi.

Ronaldo meninggalkan Real untuk menyertai Juventus dengan perpindahan bernilai EURO100 juta, Julai lalu, selepas sembilan musim bersama gergasi LaLiga itu.

Real, bagaimanapun, terkesan apabila bergelut untuk mempamerkan persembahan cemerlang tanpa kehadiran Ronaldo dan kini ketinggalan lapan mata kepada pencabar utama, Barca.

Messi masih lagi memiliki kontrak sehingga 2021 tetapi bekas pemain tengah Barcelona, Cruyff, menggesa kelab itu untuk belajar daripada kesilapan Real.

"Apa yang berlaku kepada Real adalah amaran buat Barcelona," katanya.

"Pemain-pemain Real sangat berkualiti tetapi anda memerlukan pemain yang mahu melonjakkan pasukan ketika ketinggalan 2-0 dan Messi adalah pemain tersebut.

"Ia bukan hanya bola sepak, tetapi keyakinan yang dimiliki pemain sepertinya," katanya.

Messi mengharungi musim yang cemerlang selepas meledak 21 gol dalam 20 perlawanan.

Cruyff berpendapat Ronaldo -- sama seperti Messi di Barcelona -- adalah tunjang kepada Real.

"Apabila anda menganalisis permainan Real dan dapat melihat Ronaldo adalah pemain yang memikul pasukan itu. Ketika pasukan bergelut, Ronaldo hadir menyelamatkan mereka."