Bekas penjaga gol England, Peter Shilton, berkata inisiatif Joe Hart untuk membina semula kerjayanya di Itali adalah 'tidak ideal'.

Hart meninggalkan Manchester City untuk ke Torino secara pinjaman selepas gagal meyakinkan Pep Guardiola untuk memilihnya sebagai penjaga gol tetap di Stadium Etihad.

Pemain berusia 29 tahun itu memulakan kerjaya bersama Torino dengan dua kemenangan, dua seri dan satu kekalahan dalam aksi Serie A.

Dan Shilton -- dengan 125 penampilan antarabangsa untuk England -- berkata Hart perlu terus beraksi di pentas tertinggi untuk mengekalkan kualitinya bagi menjadi penjaga gol utama The Three Lions.

Shilton memberitahu Omnisport: "Posisi penjaga gol England kini menjadi rebutan dan saya tidak fikir Hart adalah pilihan automatik.

"Adakah saya bersimpati kerana Hart terpaksa meninggalkan Manchester City? Tidak, kerana dia seorang pemain profesional.

"Jika seorang pengurus itu mempunyai pendapatnya, anda hendaklah membuktikan dia silap.

"Berpindah ke Itali bukanlah ideal tetapi ia akan memberikan pengalaman untuknya. Jika dia mula beraksi dengan baik, dia akan kekal bersaing untuk England.

"Kami mahu layak ke Piala Dunia dan kami memerlukan tiga penjaga gol yang benar-benar bagus. Sama ada Joe Hart adalah penjaga gol nombor satu bergantung kepada pengurus."

Pengunduran Sam Allardyce bermakna Hart perlu memikat hati pengurus sementara, Gareth Southgate, sepanjang empat perlawanan berikutnya, bermula dengan menentang Malta pada Sabtu, dengan harapan dia dapat memperbaiki persembahan goyahnya dalam Euro 2016.

"Saya telah berkata sebelum Euro 2016 tempoh hari bahawa saya tidak fikir Hart adalah sebagus yang difikirkan ramai orang. Namun, adalah jelas dia seorang penjaga gol yang baik.

"Saya berasa dia melakukan terlalu banyak kesilapan tetapi dia juga mempunyai perlawanan yang cemerlang.

"Dia memiliki banyak keupayaan semulajadi. Dan dengan 60 penampilan antarabangsa, dia adalah pilihan logik untuk ke Euro.

"Dua kesilapan dalam tiga perlawanan adalah tidak baik."










Going to Italy is not ideal but it's going to be an experience for him and if he starts performing well he's going to stay in contention for England.