Pintu untuk jurulatih asing masuk ke dalam skuad Sabah boleh dikatakan sudah tertutup apabila Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) memutuskan hanya akan mengambil pengendali tempatan, musim depan.

Timbalan Presiden 1 SAFA, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan, berkata perkara itu diputuskan pada mesyuarat eksekutif yang berlangsung pagi tadi.

"Keputuasan dibuat atas beberapa faktor termasuk komunikasi di antara pemain tempatan dengan jurulatih yang dikatakan menjadi masalah utama pasukan sejak beberapa musim lalu.

"Kita mahu jurulatih yang benar-benar memberi impak termasuk dari segi penyampaian supaya pemain tahu setiap arahan yang diberi kepada mereka," katanya ketika ditemui di pejabatnya, hari ini.

Tawfiq berkata, masalah yang dihadapi itu bukan saja dialami pemain, malah pembantu jurulatih yang turut dikatakan menghadapi kesukaran untuk menterjemahkan arahan ketua jurulatih kepada pemain.

"Ini memberi kesan kepada corak permainan pasukan di atas padang kerana mereka tidak faham sepenuhnya arahan jurulatih termasuk dari segi strategi dan sebagainya," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, beberapa jurulatih tempatan termasuk dari Sabah telah dikenalpasti untuk menjadi pengendali pasukan pada musim depan.

Bagaimanapun, katanya, perkara itu belum diputus kerana ianya masih dalam dalam proses perbincangan dan keputusan dijangka akan dibuat dalam tempoh terdekat bagi memastikan persiapan pasukan untuk menghadapi Liga Malaysia 2017 berjalan lancar.

"Ada juga beberapa jurulatih dari Semenanjung yang menawarkan diri untuk mengendalikan pasukan, namun kita masih mencari jurulatih yang benar-benar sesuai dan kita juga tidak menolak kemungkinan pasukan akan dibimbing jurulatih dari Sabah sendiri," katanya.

Pada musim lalu, SAFA melantik jurulatih dari Croatia, Vjeran Simunic, sebagai pengendali pasukan sebelum khidmatnya ditamatkan pada pertengahan musim dengan digantikan pembantu beliau, Johnny Dominicus.

Dua musim sebelum itu juga turut menyaksikan Sang Badak dibimbing jurulatih luar negara namun gagal mencapai sasaran yang ditetapkan, termasuk gagal layak ke Piala Malaysia.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata satu jawatankuasa pemilihan pemain yang diketuai Timbalan Presiden 2 SAFA, Datuk Lawrence Gimbang telah dibentuk untuk mengenalpasti pemain yang layak beraksi untuk Sang Badak, musim depan.

"Antara barisan jawatankuasa berkenaan termasuk Naib Presiden SAFA, Datuk Yusof Kassim, legenda bola sepak negara, Datuk Hassan Sani dan Datuk James Wong serta bekas pemain negeri iaitu Jelius Ating dan Burhan Ajui," katanya.