Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) belum mempunyai kata putus mengenai penganjuran Pestabola Merdeka yang dijangka kembali dalam kalendar penganjuran pertandingan badan induk itu bermula 2019.

Semalam, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) telah mengeluarkan jadual pertandingan bagi musim
2019 dan 2020.

Apa yang menarik perhatian ialah tarikh bagi saingan Pestabola Merdeka dicadangkan pada
penghujung Januari ini, iaitu sebelum saingan Liga Malaysia membuka tirai.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, memberi penjelasan tarikh penganjuran
Pestabola Merdeka 2019 dalam kalendar MFL belum dimuktamadkan.

Kejohanan itu merupakan sebahagian daripada pelan F30 yang diperkenalkan oleh FAM sebelum ini
dengan kali terakhir ia dianjurkan lima tahun lalu.

"Daripada FAM, ia mungkin dijalankan Januari atau Mac, mengikut jadual perlawanan FIFA. Kami tidak mahu mengganggu persiapan kelab memandangkan kami telah menggunakan khidmat pemain selama lebih 50 hari sewaktu saingan Piala Suzuki AFF," kata Stuart.

Sementara itu, Stuart menjelaskan badan induk berkenaan masih mencari mekanisme sesuai
untuk digunakan bagi penganjuran kejohanan tersebut.

FAM bercadang untuk menampilkan empat pasukan dengan salah satu daripadanya merupakan skuad
kebangsaan.

"Kami sedang meneliti bagaimana pelaksanaan Pestabola Merdeka tetapi jika namanya diubah, ia mungkin berbeza dan tarikh dipilih mungkin ketika Mac, mengikut jadual FIFA."