Pemain pertahanan B-19 negara, Anwar Ibrahim, mengharapkan pengalaman berlatih bersama skuad Liga Super, Felda United, dapat membantunya beraksi lebih baik dalam kempen kelayakan Kejohanan AFC B-19 di Korea Selatan yang akan bermula hujung bulan ini.

Anwar adalah antara empat pemain pelapis Felda United yang terpilih menyertai skuad B-19 negara bimbingan Bojan Hodak.

Hadir dengan reputasi anggota skuad Piala Presiden The Fighters berbanding tiga rakannya yang lain daripada pasukan Piala Belia, Anwar turut berguru bersama B. Sathianathan dalam skuad senior sejak Mac lalu.

Anwar mengakui pengalaman itu akan dimanfaatkan sebaik mungkin dan diterjemahkan menerusi aksi meyakinkan dalam kempen kelayakan Kejohanan AFC nanti.

"Saya mengambil kesempatan itu untuk menimba pengalaman.

"Sathianathan merupakan jurulatih terbaik saya. Saya banyak mendapat tunjuk ajar daripadanya," katanya.

Menjadikan pertahanan Pahang, Matthew Davies, sebagai idolanya, Anwar, yang beraksi di posisi pertahanan kanan juga merupakan tonggak skuad itu ketika muncul naib juara Kejohanan AFF B-18 di Myanmar, bulan lalu.

Pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan, berusia 18 tahun itu juga optimis momentum itu mampu diteruskan di Paju nanti.

"AFC nanti kami akan buat yang lebih baik untuk mara ke pusingan akhir di Indonesia nanti."