Iker Casillas mempertahankan Zinedine Zidane dan menganggap pengurus itu akan mengutip pengalaman dalam permulaan buruk Real Madrid untuk mempertahankan kejuaraan LaLiga dan Liga Juara-Juara (UCL) musim ini.

Madrid menjuarai kedua-dua pertandingan itu musim lalu dan dijangka kekal ampuh selepas membenam Barcelona dalam dua pertemuan Supercopa de Espana, namun rentak itu gagal dikekalkan.

Anak buah Zidane kini menduduki tangga ketiga liga, dijarakkan lapan mata dengan pendahulu, Barca, manakala di belakang Tottenham Hotspur dalam pemburuan slot pusingan 16 UCL selepas tumbang di Wembley, minggu lalu.

Sebaliknya, Casillas percaya pengalaman bekas rakan sepasukannya di Madrid itu yang kini bertindak sebagai jurulatih semakin bertambah seiring dengan musim yang dilaluinya, sambil menyatakan peluang mereka tidak boleh diperkecilkan.

"Hasil keputusan yang mengecewakan akan menjadikannya lebih kuat," ujar penjaga gol Porto itu kepada Omnisport.

"Semua orang menunggu kesilapan daripada Real, namun mereka adalah sebuah pasukan yang berturut-turut memenangi UCL dan belum pernah ada pasukan lain dapat melakukannya sebelum ini.

"Mereka tidak berada dalam keadaan yang terbaik dalam LaLiga ketika ini selain tewas kepada Tottenham tetapi kita perlu tunggu.

"Baki aksi LaLiga masih banyak, begitu juga dengan UCL. Semuanya akan diputuskan pada Februari nanti," ujarnya.

Casillas memenangi Anugerah Golden Foot Hublot 2017 di Monaco malam tadi untuk mengikut jejak langkah penjaga gol, Gianluigi Buffon, yang meraih anugerah itu tahun lalu.

Sejak bergelut beberapa tahun kebelakangan ini, pemain berusia 36 tahun itu bangkit hasil dorongan pemain hebat dalam generasinya.

"Jika Buffon bersara pada usia 40-an, saya akan cuba saya mahu memanjangkan karier setahun lebih lama daripadanya," ujar Casillas lagi.

"Saya rasa dia telah memikirkan keputusannya untuk bersara, beggitupun saya berharap dia akan mempertimbangkannya semula kerana bola sepak memerlukan pemain sepertinya."