Kekalahan 1-3 kepada kelab Indonesia, Persebaya Surabaya, dalam aksi persahabatan di Stadium Gelora Bung Tomo di Surabaya, Sabtu lalu, memberi banyak pengajaran buat Sabah.

Pengendalinya, Kurniawan Dwi Yulianto, berkata, beraksi dengan sebuah kelab yang besar di Indonesia adalah sesuatu yang diperlukan oleh pasukan sebagai persiapan menghadapi saingan Liga Super yang akan berlangsung tidak lama lagi.

"Kami menghadapi sebuah pasukan yang memiliki beberapa pemain yang sangat berkualiti dengan disaksikan seramai kira-kira 55,000 penyokong fanatik mereka.

"Kami menimba banyak pengalaman berharga daripada perlawanan ini yang pastinya sangat berguna sebagai persiapan menghadapi Liga Super," katanya.

Kurniawan berkata secara keseluruhan pasukannya beraksi baik dan mencipta banyak peluang, namun gagal memanfaatkannya sehingga membawa padah kepada mereka.

"Sebelum perlawanan itu, saya memberitahu pemain supaya cuba berbuat sesuatu dengan mencipta peluang kerana agak sukar untuk mencipta sesuatu peluang.

"Saya juga melihat pemain begitu bersemangat dan mendapat motivasi dengan kehadiran penyokong yang ramai, namun mereka perlu belajar untuk mengekalkan emosi mereka ketika berada di atas padang.

"Terlalu banyak sentuhan hanya akan menyebabkan kita melakukan kesilapan tidak sepatutnya dan memberikan tekanan kepada pasukan. Persebaya hanya mampu mengatasi kami kerana kesilapan yang dilakukan," katanya.



Editor: Ammar Hakim