Kualiti pengadil di Malaysia semakin ke belakang atau Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) gagal menyediakan modul pembangunan terbaik buat pengadil tempatan?

Kali terakhir pengadil Malaysia berada di pentas Piala Dunia adalah dalam edisi di Afrika Selatan pada 2010 melibatkan Subkhiddin Mohd Salleh.

Sehingga kini, Malaysia masih ternanti-nanti siapakah pengadil atau pembantu pengadil seterusnya yang akan mewarnai pentas tertinggi itu.

Jika 10 tahun lalu, kita boleh berbangga dengan kredibiliti yang dimiliki Subkhiddin, kini ia tiada lagi.

Dalam satu temu bual bersama Nadi Arena, Subkhiddin berkata: "Untuk sekarang ini, kita belum dapat meletakkan pengadil untuk mengadili perlawanan yang melibatkan Liga Juara-Juara Asia (ACL), bukan Piala AFC.

"ACL adalah asas bagi mana-mana pengadil sebelum dinilai di peringkat Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Ditanya sama ada terdapat pengadil tempatan yang berada dalam kelompok 20 terbaik Asia, Subkhiddin menjawab: "Belum lagi. Mereka belum lagi berada dalam kelompok itu."

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, ACP Dali Wahid, berasakan masih ada peluang untuk pengadil tempatan berada di pentas tertinggi itu.

"Senarai itu belum keluar lagi dan saya yakin memang ada pengadil dari Malaysia yang akan terpilih nanti.

Insya-Allah, enam pengadil terbaik FIFA yang kami ada akan diberikan peluang sama ada sebagai pengadil atau pembantu pengadil," katanya.