AS ROMA 2 INTER MILAN 2

Ketua jurulatih Inter Milan, Luciano Spalleti, mempertahankan prestasi pengadil perlawanan, Gianluca Rocchi, ketika pasukannya terikat 2-2 dengan AS Roma dalam aksi Serie A, awal pagi tadi.


Nerrazzurri dua kali di depan dengan penyudah Cengiz Under dan sepakan penalti Aleksandar Kolarov menafikan jaringan Keita Balde Diao dan tandukan Mauro Icardi.

Kem Roma berang dengan tindakan Rocchi yang tidak memberikan sepakan penalti buat pasukan itu selepas Nicolo Zaniolo dijatuhkan Danilo D'Ambrosio dalam kawasan tersebut.

Keputusan itu turut dipertikaikan legenda Roma, Francesco Totti, yang mempersoalkan mengapa sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) tidak digunakan dalam insiden itu.

Namun, Spalleti, yang diarahkan keluar padang pada lewat permainan, mendakwa pegawai itu telah melakukan tugasnya sebaik mungkin.

"Keadaan sewaktu itu merupakan situasi 50-50 dan dia berada di kedudukan yang jelas untuk membuat keputusan.

"Ramai mempertikaikan keputusannya yang kerap kali menangguhkan perlawanan.

"Bagi saya, Rocchi telah melakukan keputusan yang tepat, termasuk menghalau saya keluar ketika saya hilang kawalan dan bertindak keluar daripada kawasan pegawai.

"Ia merupakan serangan balas yang menarik, dia mengganggu serangan itu dan saya hilang pertimbangan.

"Ia adalah keputusan yang adil," katanya kepada Sky Sport Italia.

Keputusan seri itu meletakkan Inter 11 mata di belakang pendahulu liga, Juventus.

Kedua-dua pasukan akan bertemu dalam aksi 'Derby d'Italia', Sabtu ini.

"Ia merupakan perlawanan yang menarik untuk disaksikan peminat kedua-dua pasukan.

"Ia menunjukkan kami berada di landasan yang betul dan perlu memperbaiki beberapa aspek," katanya lagi.