ROMA 1 MONCHENGLADBACH 1

Roma mendedahkan pegawai perlawanan mengakui telah melakukan kesilapan dengan menghadiahkan sepakan penalti pada penghujung permainan kepada Borussia Monchengladbach untuk seri 1-1 dengan tuan rumah dalam saingan Liga Europa (UEL).


Monchengladbach menggunakan peluang menerusi Lars Stindl yang menyumbat sepakan penalti pada minit ke-95 di Stadio Olimpico.

Ketika Roma kelihatan hampir meraih mata penuh menerusi jaringan Nicolo Zaniolo, hantaran jauh yang dilakukan lawan terkena muka pertahanan, Chris Smalling, tetapi pengadil, Willie Collum, menghukum dengan menghadiahkan sepakan penalti kepada Monchengladbach.

Selepas tamat perlawanan, Roma mengeluarkan kenyataan menerusi laman twitter, "Pihak pengurusan #ASRoma telah bercakap dengan pegawai perlawanan dan keputusan sepakan penalti itu adalah satu kesilapan.

"Kami menghormati dan berterima kasih di atas kejujuran itu dan kini kami boleh kembali fokus untuk perlawanan seterusnya."

Keputusan itu menyaksikan Roma mengumpul lima mata dan mengungguli Kumpulan J, berkelebihan satu mata ke atas Istanbul Basaksehir dan Wolfsberger sementara meninggalkan Monchengladbach dengan tiga mata.

"Ia adalah keputusan yang sukar untuk diterima," kata ketua jurulatih Roma, Paulo Fonseca, kepada Sky Sport Italia.

"Semua pemain kecewa dengan keputusan itu. Kami berdepan pendahulu Bundesliga dan mengawal rentak permainan. Roma berhak meraih kemenangan."

Penyerang Roma, Edin Dzeko, pula berkata, "Ia adalah kesilapan yang tidak seharusnya berlaku dan tidak boleh terjadi dalam perlawanan seperti ini. Ia mengubah segala-galanya.

"Kami kini berdepan tiga lagi perlawanan di mana apa-apa sahaja boleh berlaku. Kemenangan hari ini seharusnya memudahkan perjalanan kami."