Meskipun hasrat menjulang Piala Presiden buat kali pertama dinafikan Kelantan, ketua jurulatih T-Team, Mohd Nafuzi Zain, menyifatkan pencapaian selaku naib juara adalah satu kejayaan membanggakan buat pasukan itu.

"Permainan yang ditampilkan oleh pasukan ini dari awal musim sangat menakjubkan dan kami menunjukkan kualiti yang baik sehingga ke perlawanan akhir.

"Tiada siapa meletakkan harapan untuk T-Team mara sehingga ke tahap ini, jadi ini adalah satu kejayaan buat kami.

"Pemain-pemain sudah memberikan yang terbaik, namun nasib tidak menyebelahi pasukan kami dan Kelantan bermain dengan baik malam ini (semalam)," ujar Nafuzi.

Kesilapan penjaga gol T-Team, Mohd Asyraf Azmi, yang gagal mengeluarkan bola dengan baik dari kawasan bahaya pada minit ke-40 membawa kepada gol pendahuluan Kelantan, sebelum mereka bolos buat kali kedua pada minit ke-81 menerusi serangan balas pantas pasukan lawan.

"Kami beraksi baik pada babak pertama, namun dihukum oleh kesilapan penjaga gol yang mungkin tertekan, masih muda dan kurang berpengalaman.

"Jadi, ini adalah proses pembelajaran untuk mereka dan masih ada ruang untuk meningkatkan kebolehan masing-masing.

"Selepas bolos gol pertama, kami terpaksa memberi tumpuan serta melakukan lebih banyak serangan pada 45 minit kedua untuk menyamakan kedudukan.

"Keghairahan menyerang telah membuka ruang di bahagian pertahanan, dan kesempatan itu digunakan pasukan lawan.

"Secara keseluruhan saya berbangga dengan pasukan ini dan tahniah buat Kelantan,” tambah Nafuzi lagi.