Perlawanan akhir Liga Bola Sepak Kadazan Dusun Murut (KDM) Malaysia 2018-2019 di antara KDM Sepanggar dan KDM Telupid bakal berlangsung di Stadium Penampang, Sabtu depan.

Setiausaha penganjur, Jellysius Saimpon, berkata sepak mula perlawanan akhir akan dijalankan jam 3.00 petang dan sebelum aksi itu akan berlangsung perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat di antara KDM Semporna dan KDM Kudat di venue sama, jam 1.00 tengah hari.

Sepanggar mara ke perlawanan akhir selepas menang dengan agregat 3-2 ke atas Semporna manakala Telupid mengatasi Kudat 2-0 dalam separuh akhir yang dijalankan secara timbal balik.

Perlawanan akhir pertandingan liga itu adalah peluang kedua buat Sepanggar merangkul gelaran juara setelah terlepas untuk menjulang Piala FA apabila tumpas 1-4 kepada Semporna dalam aksi final di Stadium Likas, bulan lalu.

Presiden KDM Malaysia yang juga presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Peter Anthony, dijadualkan hadir bagi merasmi dan menyempurnakan majlis penutupan serta penyampaian hadiah.