Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Yusoff Mahadi, berharap pasukan lain mengambil pengajaran daripada hukuman pemotongan tiga mata skuad PDRM demi menjaga imej Liga Malaysia.

PDRM bakal memulakan saingan Liga Super 2020 dengan defisit tiga mata selepas gagal melangsaikan tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan.

Yusoff menjelaskan FAM telah mengadakan perbincangan dengan PDRM terlebih dahulu sebelum menjatuhkan hukuman, namun pemotongan harus dilakukan selepas tiada tindakan lanjut daripada pasukan tersebut.

Sebelum ini, PDRM telahpun diberi tempoh hingga 31 Januari lalu untuk melangsaikan hutang atau mencapai persetujuan dengan pelan penyelesaian tunggakan bersama pemain atau pegawai terbabit.

"Kami perlu laksanakan peraturan. Setiap liga mesti ada peraturannya. Diharapkan denda ini dijadikan satu pengajaran kepada pasukan lain agar ia tidak berlaku lagi. Biarlah ia menjadi kes terakhir," kata Yusoff.

Sementara itu, Yusof berharap The Cops dapat menyelesaikan masalah tunggakan gaji sebelum liga bermula 28 Februari ini bagi mengelakkan risiko pemotongan enam mata.

"Selepas ini, enam mata akan ditolak jika tidak menyelesaikan masalah hutang ini. Jadi, saya harap potongan tiga mata ini menjadi pengajaran buat PDRM dalam usaha menyelesaikannya."



Editor: Ammar Hakim