Bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo, membidas kritikan yang dilontarkan terhadapnya apabila mempamerkan persembahan memukau dalam kemenangan ke atas Bayern Munich, awal pagi tadi.

Kapten Portugal itu meledak gol ke-100 dalam kejohanan kelab UEFA apabila dua golnya dalam babak kedua mengesahkan kemenangan 2-1 dalam aksi suku akhir pertama.

Ronaldo gagal menterjemahkan sebarang jaringan sejak 27 September tahun lalu -- selepas 659 minit -- sebelum meledak gol penyamaan dalam separuh masa kedua.

Pemain berusia 32 tahun itu berkata dia tidak menyedari ada pihak yang berasa sangsi akan kebolehannya tetapi menegaskan peminat setianya sentiasa meyakini kemampuannya.

"Saya tidak tahu siapa yang sangsi dengan kemampuan saya," dia memberitahu media.

"Mereka yang menyayangi Cristiano tidak akan pernah berasa sangsi. Kamu perlu memberitahu saya siapa yang berkata sebegitu.

"Saya gembira, saya mahu mencatat rekod ini. Ini adalah satu penghormatan, apatah lagi berdepan lawan seperti Bayern Munich."

Bayern mendahului 1-0 memasuki masa rehat dan seharusnya menggandakan jaringan sebelum berakhirnya babak pertama apabila Arturo Vidal gagal menyempurnakan sepakan penalti.

Madrid bingkas bangkit dan kad merah yang dilayangkan terhadap Javi Martinez memudahkan skuad kendalian Zinedine Zidane untuk meledak gol kedua 13 minit sebelum berakhirnya perlawanan.

"Saya sangat gembira, kami menjaringkan gol awal dan perlawanan menjadi lebih mudah," tambah Ronaldo.

"(Manuel) Neuer cukup hebat, dia beberapa kali menyelamatkan gawang. Kadang-kala kami menjaringkan gol dan ada masanya tidak.

"Jika bukan kerana Neuer, kami pasti menjaringkan gol yang banyak.

"Inilah bola sepak, jika Vidal berjaya menjaringkan sepakan penalti tersebut, mungkin keputusan perlawanan ini berbeza."

Ronaldo kemudiannya mendedahkan dia telah melakukan pendekatan berbeza terhadap latihannya dan menegaskan dia tidak berdepan masalah sekiranya direhatkan Zidane.

"Saya melakukan perubahan radikal terhadap corak latihan bagi memastikan saya kekal cergas hingga hujung musim."