Penyokong pasukan Kelantan mengambil peluang mengucapkan terima kasih kepada Tan Sri Annuar Musa susulan keputusannya meletakkan jawatan presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang disandang sejak 2008, petang semalam.

Selepas memuat naik satu surat peletakan jawatan ke laman Facebook miliknya, ruangan komen terus dipenuhi ucapan yang rata-rata menghargai jasanya bersama The Red Warriors selama ini.

"Terima kasih atas sumbangan Tan Sri selama ni kerana memperkasakan dan membentuk skuad Kelantan sehingga dikenali hingga kini.

"Tranformasi yang membawa kejayaan mendakap semua piala dalam negara. Harap Tan Sri boleh memberi idea kepada skuad Kelantan pada masa akan datang," kata salah seorang penyokong yang menggunakan akaun Tuan Rizz.

Sementara itu, Muhammad Syafiq Pert berkata: "Terima kasih Tan Sri di atas segala jasa memberi nafas baru bola sepak Kelantan. Dari lembah hina, Tan Sri bawa nama sampai menjulang semua piala yang ada di Tanah Melayu ni. Saya bangga sempat merasa menjadi peminat sebuah pasukan juara treble, jadi penyokong sebuah pasukan gergasi satu ketika dahulu. Tidak boleh nafi dah jasa dan sumbangan Tan Sri."

Sepanjang lapan tahun memegang jawatan presiden, Annuar mengharungi tempoh paling mencabar pada April 2012 apabila digantung dua tahun oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas membuat kenyataan akhbar berbau negatif mengenai badan induk itu.

Keputusan yang dijatuhkan tanpa dibenarkan membuat rayuan itu, turut membuatkan Annuar kehilangan status sebagai Timbalan Presiden FAM dan juga Presiden KAFA.

Sepanjang tempoh penggantungan, Annuar tidak dapat menjalankan aktiviti bola sepak dalam pasukan kebangsaan dan juga pasukan negeri.

Pada tahun itu, Kelantan, bagaimanapun, muncul juara 'treble' selepas memenangi Piala FA, Piala Malaysia dan mempertahankan Liga Super, yang dimenangi pada 2011.