Didier Drogba akan menggantung but selepas musim 2018 dalam Liga Bolasepak Amerika Syarikat (USL) -- divisyen kedua selepas Liga Utama AS (MSL) -- untuk memberi tumpuan kepada projek lain.

Bersama juara USL empat kali itu, penggempur itu melakar sembilan gol dalam musim pertamanya dengan Phoenix Rising ketika mereka sedang menduduki tempat kelima saingan Wilayah Barat.

Selain menjadi bintang Phoenix, bekas tonggak antarabangsa Ivory Coast itu juga merupakan salah seorang pemegang saham kelab itu sejak 2014 dan pada usia 39 tahun, dia mahu memberi fokus kepada usaha di luar padang.

"Saya fikir tahun depan akan menjadi musim terakhir saya," katanya kepada RMC. "Sudah tiba masanya untuk bersara.

"Saya memerlukan masa untuk mengusahakan projek saya yang lain. Adalah bagus untuk terus bermain tetapi pada usia 39 tahun, ia agak membataskan saya."

Selepas berpindah ke Chelsea pada 2004, Drogba meletakkan dirinya sebaris dengan penyerang utama dunia menerusi kekuatan dan pencapaian golnya yang membezakannya daripada pesaing lain.

Dalam tempoh sembilan tahun di Stamford Bridge -- menyertai The Blues sebanyak dua kali -- dia telah merekodkan 164 jaringan, termasuk gol penting dan penalti kemenangan ketika mereka memenangi Liga Juara-Juara pada 2012.

Selain kemasyhuran dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), Drogba juga pernah menjulang gelaran Super Lig dengan Galatasaray pada 2013 di samping pernah berkelana ke China sebelum berpindah ke MLS dengan Montreal Impact.