Pemilik baru Roma, The Friedkin Group, berhasrat menjadikan kelab Serie A itu sebagai salah sebuah "kuasa terhebat dalam bola sepak dunia".

Friedkin Group melengkapkan proses pemilikan itu daripada Presiden, James Pallotta, semalam dengan menguasai 86.6 peratus saham pasukan Itali berkenaan.

Kumpulan pemilikan yang berpusat di Houston itu akan melancarkan tawaran tender wajib ke atas saham terbuka yang mewakili sekitar 13.4 peratus modal saham Roma.

Kali terakhir juara Serie A tiga kali itu memenangi Scudetto adalah pada 2001 dan menduduki tempat kelima pada 2019-20 -- 13 mata dipisahkan dengan juara rentetan sembilan musim, Juventus.



Roma juga mara ke suku akhir Coppa Italia dan pusingan 16 Liga Europa dalam musim pertama Paulo Fonseca bertindak sebagai pengurus.

"Kami gembira dapat bergabung dengan keluarga AS Roma," kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan ketua The Friedkin Group, Dan Friedkin.

"Seperti yang ditulis oleh seorang peminat baru-baru ini, 'ambil alih kelab ikonik ini dan jadikan ia sebagai salah sebuah nama terhebat dalam bola sepak dunia'. Jadi kami berhasrat untuk merealisasikannya.

"Komitmen kami kepada Roma adalah menyeluruh. Kami akan hadir di Rom, sebuah kota yang mempunyai tempat istimewa di hati kami ketika kami memulakan perjalanan yang menarik ini. Kami menyedari bahawa kami diberi kepercayaan menerusi pasukan yang merupakan sebahagian penting dalam jiwa Rom dan ini adalah tanggungjawab yang kami galas dengan rendah hati dan akan selalu dipandang serius."