Pemilihan terperinci untuk cari pengendali Selangor -- Shahril

Oleh Penulis Jemputan 15 Oktober 2019 5777
Pemilihan terperinci untuk cari pengendali Selangor -- Shahril
Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar, menegaskan pemilihan terperinci akan dibuat melibatkan pengendali yang akan menerajui Selangor musim depan.

Ketika ramai yang berteka-teki terhadap perubahan besar yang akan dilalui kem Selangor musim depan, kedudukan siapa yang akan memegang tampuk kejurulatihan turut menjadi tanda tanya.

Jika penggabungan di antara FAS-PKNS benar-benar berlaku, bagaimana status jurulatih Selangor, B. Sathianathan dan jurulatih PKNS, Datuk K. Rajagobal, dengan masing-masing dilabel sebagai pengendali prolifik?

Tegas Shahril, segalanya akan melewati perbincangan beberapa lapisan dan tiada gambaran awal yang boleh diberikan berkaitan status kedua-dua pengendali itu.

"Selangor sudah tentu akan dikendalikan seorang jurulatih. Perkara ini akan diperhalusi dalam usaha untuk memastikan pasukan maju ke hadapan," katanya.

Sehingga ke saat ini, PKNS masih gagal memberi sebarang kenyataan rasmi, namun Shahril mengharapkan usaha itu segera diterima semua pihak agar proses untuk mempersiapkan skuad baru Selangor musim depan dapat dimulakan dengan kadar segera.

"Saya berharap perkara ini dapat dilaksanakan secepat mungkin bagi menjalankan persiapan musim depan."

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen