Pemilihan skuad muda Sabah: Disiplin kriteria utama

Oleh Willie Jude 22 November 2017 792
Pemilihan skuad muda Sabah: Disiplin kriteria utama
Hanya pemain yang berdisiplin berpeluang menyarung jersi skuad Piala Piala Presiden (bawah 21 tahun) dan Piala Belia (bawah 19 tahun) Sabah bagi musim 2018.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pemain dua pasukan berkenaan, Benedict Asmat, berkata pemain yang tidak berdisiplin boleh melupakan hasrat mereka untuk menyarung jersi skuad muda Sang Badak walaupun mereka memiliki kebolehan.

"Disiplin ini termasuk daripada segi pembawaan diri sebagai pemain sebelum, semasa dan selepas bermain dalam pemilihan ini.

"Pemain berdisiplin bermakna dia tahu apa keperluan mengikuti pemilihan ini seperti kelengkapan bermain, ada kesungguhan dan meletakkan pemilihan menyarung jersi Sabah sebagai satu penghormatan tinggi," katanya ketika ditemui, hari ini.

Benedict berkata sesi pemilihan akan berlangsung sehingga Jumaat ini dengan dikendalikan ketua jurulatih skuad Piala Presiden musim lalu, Justin Ganai.

"Pemilihan ini disertai 100 pemain, iaitu kehadiran di luar jangkaan, kerana ia sepatutnya pemilihan tertutup untuk 55 pemain yang telah dikenal pasti daripada Kejohanan Piala Ketua Menteri dan Sukan Sabah (Saga).

"Kami terpaksa memberi peluang kepada semua yang hadir kerana ramai yang datang dari jauh," katanya yang juga Ahli Majlis Tertinggi Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA).

Beliau juga sedikit terkilan apabila hanya 31 daripada 55 pemain yang telah dipanggil datang menyertai sesi pemilihan.

"Tidak tahu kenapa (ada yang tersenarai tidak datang) tetapi saya harap mereka datang esok," katanya.

Tentang Penulis

Willie Jude

Komen