Pemilihan Luqman Hakim satu perjudian, kata pemilik KV Kortrijk

Oleh Muzaffar Musa 6 Ogos 2020 18747
Pemilihan Luqman Hakim satu perjudian, kata pemilik KV Kortrijk
Penyerang muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsuddin, akhirnya sah menjadi milik kelab Belgium, KV Kortrijk, selepas menandatangani kontrak selama lima tahun bersama pemilik kelab itu, Tan Sri Vincent Tan, dalam satu majlis di ibu negara hari ini.

Dalam majlis itu, Vincent turut mengakui  betapa beliau terpaksa melalui perbincangan sukar bersama pihak pengurusan pasukan itu demi menempatkan seorang wakil negara di pentas liga divisyen utama Eropah.

"Kami memberikan peluang kepada Luqman dan ia boleh dikatakan sebagai satu perjudian.

"Kami bertaruh bahawa dia akan berjaya tetapi pasti akan ada orang yang akan katakan bahawa dia masih muda dan tidak pandai bertutur dalam bahasa Inggeris.

"Tetapi tidak mengapa kerana orang muda akan cepat belajar.

"Sebenarnya, pihak pengurusan KV Kortrijk pada asalnya tidak menyokong pemilihannya kerana dia masih muda tetapi saya bertanyakan kepada mereka mengapa saya tidak boleh membuat keputusan itu sedangkan saya pemilik pasukan berkenaan?

"Saya mahu memberikan seorang warga Malaysia peluang untuk bermain di sana.

"Jadi, mereka perlu melatihnya dan memberikannya peluang.

"Jika mereka tidak boleh menggunakannya sebagai barisan utama, sekurang-kurangnya mereka perlu menggunakannya sebagai pemain gantian untuk bermain selama 10 hingga 15 minit.

"Mereka perlu tahu bahawa dia boleh menjaringkan gol dan selepas dia menjaringkan satu atau dua gol, mereka pasti mahu menggunakannya sebagai pemain utama.

"Mereka perlu memberikannya peluang dan tidak bolah cakap 'tidak boleh'.

"Jika anda tidak memberikannya peluang, bagaimana anda boleh tahu kemampuannya?

"Sebagai pemilik kelab ini, saya mahu menandatanganinya dan mereka perlu menandatanganinya dan memberikannya peluang," katanya.

Sementara itu, Lukman Hakim berjanji untuk tidak akan terkesan dengan tanggapan awal yang diterimanya untuk bersama KV Kortrijk.

Sebagai wakil Asia, kelebihan fizikal sudah pasti tidak memihaknya tetapi menegaskan dia memiliki sentuhan yang mampu memancing perhatian barisan kejurulatihan barunya kelak.

Pemain kelahiran Kelantan itu turut memberi jaminan bahawa dia tidak akan pulang awal ke Malaysia.

"Bukan mudah untuk mereka memberikan peluang kepada saya kerana cara di sana pasti berbeza. Cara pemain mereka melihat kita juga berbeza.

"Mereka pasti ada pandangan skeptikal terhadap pemain Asia yang beraksi di Eropah.

"Jadi, ia umpama satu cabaran yang sukar. Saya perlu mengatasi kesukaran itu.

"Saya akan pergi ke sana untuk bermain dengan jiwa saya sendiri.

"Saya mahu membuktikan bahawa pemain Asia seperti saya juga bukan calang-calang pemain.

"Saya akan buktikan di Eropah bahawa pemain dari Malaysia juga penuh bakat.

"Bukan hanya saya seorang, ramai lagi pemain berbakat, cuma kita tidak nampak.

"Jadi, saya berasa amat beruntung kerana bakat saya dapat dilihat," katanya.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen